KM: Isu keselamatan di Sabah rumit, perlu penglibatan, campurtangan kerajaan Persekutuan

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Isu-isu keselamatan di Sabah agak unik dan rumit kerana negeri ini berdekatan dengan sempadan antarabangsa dengan Indonesia di selatan, Brunei ke selatan-barat dan Filipina di utara dan timur Sabah, beberapa isu ini berkaitan dengan kedaulatan negara dan asing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berkata, lebih rumit lagi oleh pergerakan bebas orang-orang di antara kawasan ini kerana hubungan sejarah, budaya dan keluarga yang kembali pulih selama beberapa dekad.

“Jusreru, ia memerlukan penglibatan dan campurtangan kerajaan persekutuan,” katanya pada majlis perasmian seminar bertajuk Isu Keselamatan Wilayah dan Tempatan di Sabah: Mengenalpasti Masalah Teras dan Prospek untuk Resolusi, bertempat di Hotel Mariott, disini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.

Shafie berkata, pergerakan sempadan untuk aktiviti perdagangan dan ekonomi juga merupakan ciri umum di pantai timur Sabah di mana penduduk yang tinggal di kampung terpencil di pulau-pulau di rantau ini mendapatkan makanan dan bekalan harian mereka dari bandar-bandar pantai timur Sabah.

“Ramai daripada mereka juga mendapatkan rawatan perubatan dan mencari pekerjaan di Sabah dan bukan negara mereka sendiri,” katanya.

Begitu juga, katanya kejadian keganasan dan penculikan yang berlaku di perairan pantai timur Sabah adalah kesan hampir lima dekad konflik dalaman di Selatan Filipina.

Katanya, perang saudara di rantau selatan Sulu di Filipina sejak tahun 1970-an telah menyebabkan kemasukan ribuan rakyat Filipina dari keturunan Moro untuk mencari perlindungan di Sabah.

Shafie berkata, memandangkan Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951 dan Protokol 1967  berkaitan dengan Status Pelarian, orang-orang yang baru tiba dianggap sebagai pendatang tanpa izin dan bukan pelarian.

“Walaupun demikian, Kerajaan Malaysia memberi mereka kebenaran khas untuk tinggal dengan mengeluarkan sijil IMM13 dan menempatkan mereka dalam lima Kem Pelarian  – iaitu Kinarut, Telipok, Kampung Bahagia di Sandakan, Kampung Selamat di Semporna dan Kampung Hidayat di Tawau,” katanya.

Shafie berkata, penghijrahan besar-besaran rakyat Filipina ke Sabah masih terus-terusan, meskipun perjanjian damai yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pada tahun 1976 dan sekali lagi pada tahun 2014. “Kes penculikan di Sabah bermula hampir 2 dekad yang lalu”.

Beliau berkata, penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) pada 21 Ogos 2002 yang mula beroperasi pada 30 Oktober 2006 tidak cukup berkesan untuk menjamin perairan wilayah Malaysia di Sabah.

Dari tahun 2000 hingga 2016, 20 kes penculikan dilakukan oleh Abu Sayyaf yang dicatatkan, melibatkan sejumlah 33 rakyat Malaysia dan 31 rakyat asing.

Katanya, pencerobohan oleh sekumpulan pengganas dari Selatan Filipina ke Kampung Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013 menggegarkan negara dan menandakan episod gelap dalam sejarah Sabah.

“Insiden ini membawa kepada penubuhan sebuah perintah sivil-ketenteraan yang dikenali sebagai Pusat Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) dengan ibu pejabatnya di Lahad Datu.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga menetapkan seluruh bahagian timur Sabah sebagai Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE).

Lebih banyak aset tentera dikerahkan ke Sabah dan ESSCOM ditugaskan untuk menjalankan semua aktiviti pasukan keselamatan di ESSZONE,” katanya.

Katanya,  pasukan keselamatan menugaskan petugas dan bot petrol mereka di pulau-pulau dan resort strategik supaya mereka bersedia menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka seperti penyeludupan, penculikan dan penghijrahan rentas sempadan haram.

Tempoh berkurung antara pukul 7 malam hingga 5 pagi di perairan timur Sabah sehingga tiga batu laut nautika diketatkan di laut untuk memastikan keselamatan nelayan, pelancong dan penyelam.

Radar digunakan untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan di setiap penempatan di sepanjang pantai timur,” katanya.

Shafie berkata, Kerajaan Malaysia terus meningkatkan usaha untuk meronda sempadan maritim negara dengan sentiasa berhubung dengan rakan-rakan di Filipina dan Indonesia melalui pembentukan jawatankuasa tiga pihak. Usaha ini masih berterusan, dan dikuatkuasakan sehingga hari ini.

Beliau berkata, untuk  memastikan kejayaan ESSCOM dan memastikan organisasi diperkuat untuk memberi perlindungan kepada masyarakat dan membuat penduduk tempatan berasa selamat dalam ESSZONE, pada bulan April 2013, kerajaan menggariskan pendekatan strategik dan teknikal yang mempunyai empat cabangan untuk memperkasakan keselamatan di perairan negara.

Antyaranya, untuk meningkatkan keupayaan perisikan, memberi pengawasan pesisir pantai yang berkesan 24 jam, meningkatkan keupayaan negara untuk memintas ancaman masuk melalui laut dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat dengan tindakan segera diambil setelah ancaman sampai ke pantai.

Katanya, kerjasama antara komponen awam termasuk ESSCOM, Kastam, Imigresen, APMM, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Polis telah dipertingkatkan melalui mesyuarat tetap untuk mencapai matlamat keselamatan.

Shafie berkata, Sabah adalah tanah keindahan dan kelimpahan sumber asli dengan potensi yang besar dalam pelancongan, industri, pertanian, perikanan dan pembangunan ekonomi sosial.

Namun, katanya banyak potensi ini masih belum direalisasikan dan tidak dipenuhi kerana banyak masalah masih belum dapat diselesaikan.

Baru-baru ini, katanya Menteri Pertahanan telah menyatakan di Sandakan bahawa ESSCOM akan disusun semula.

Terdapat juga cadangan untuk memindahkan Kem Angkatan Tentera Lok Kawi dan menempatkan MMEA di pantai timur terutamanya di Tawau, Sandakan, Semporna dan Lahad Datu untuk meningkatkan keselamatan di pantai timur.

Beliau berkata, Keselamatan adalah isu serius di Sabah. Ia tidak boleh dianggap ringan kerana ia merupakan ancaman yang nyata bukan hanya untuk rakyat Sabah tetapi untuk keselamatan Malaysia.

“Ia boleh menjejaskan pembangunan ekonomi dan pelaburan terutama di pantai timur Sabah,” katanya.

Beliau berkata,  Kerajaan Negeri mahu memastikan tahap kesediaan pasukan keselamatan yang lebih tinggi dalam melindungi perairan negeri daripada pencerobohan dan ancaman lain.

“Langkah-langkah ini adalah penting untuk memastikan keselamatan awam dan negara bebas daripada sebarang ancaman seperti jenayah merentas sempadan, terutamanya penculikan,” katanya.

Shafie berkata, sebagai pengerusi  Majlis Keselamatan Negeri Sabah, saya sangat bersesdia untuk mendengar pandangan mengenai bagaimana kerajaan boleh memperbaiki keadaan dan bergerak  maju ke hadapan.

“Ini adalah masa yang tepat bagi kita untuk melihat kembali keadaan keselamatan dengan penglihatan baru dan perspektif baru. Oleh itu, seminar hari ini sangat tepat pada masanya,” katanya.

Seminar itu dianjurkan oleh Institut Kajian Pembangunan (Sabah) – IDS, dengan kerjasama Konrad Adenauer-Stiftung (KAS).

Turut hadir Pengerusi IDS Tan Sri Simon Sipaun, Wolfgang Hruschka wakil Konrad-Adenauer-Stiftung dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif 1 IDS  Anthony Kiob.