Komuniti Bajau Laut akan dibantu –Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membantu masyarakat Bajau Laut yang terjejas akibat operasi perobohan penempatan mereka oleh pihak berkuasa di Semporna, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sedang mengusahakan bantuan yang sewajarnya termasuk cadangan penempatan baharu untuk masyarakat itu.

“Sekarang kita sedang fikir sesuatu yang baik untuk mereka tetapi apa yang dilakukan itu adalah kerana ini melibatkan soal keselamatan, kedaulatan negara kita.

“Jadi, jangan jadikan ini sebagai isu politik, kita tahu macam mana kerajaan negeri menangani dan membantu mereka yang terlibat ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelaburan baharu Kumpulan Kibing, di KKIP, semalam.

Beliau ditanya mengenai langkah yang diambil kerajaan berikutan operasi perobohan penempatan masyarakat Bajau Laut atau Palauh yang didirikan di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna.

Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengeluarkan kenyataan yang menyatakan pihaknya mengambil berat perkara itu dan memantau rapat perkembangannya.

Suruhanjaya itu menekankan kepentingan pendekatan seimbang untuk menangani keperluan segera mereka yang terjejas akibat tindakan perobohan itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, baru-baru ini mendedahkan sebanyak 138 rumah daripada 273 yang diberikan notis dirobohkan di penempatan tanpa izin di Pulau Bohey Dulang dan Bodgaya, Semporna pada 4 hingga 6 Jun lalu.

Operasi perobohan itu, katanya membabitkan rumah penempatan tanpa izin yang dibina di kawasan TMTS dan dilaksanakan selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna mengenai pengedaran Notis Pengosongan Kawasan TMTS pada 26 April lalu.

Katanya, operasi itu membabitkan pihak polis, Polis Marin, Pejabat Daerah Semporna, ESSCOM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Semporna. – Info X