Lelaki dikhuatiri hilang di laut, bot ditemui tanpa pengemudi

TAWAU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang di laut selepas bot yang dinaiki ditemukan tanpa pengemudi di perairan Inderasabah, di sini, pagi tadi.

Penemuan itu disedari oleh penduduk kampung yang melaporkan kejadian kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 6.09 petang tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, mangsa yang dilaporkan hilang berusia 33 tahun.

Katanya, bot berkenaan ditemukan tanpa pengemudi oleh penduduk kampung sebelum membuat laporan kecemasan kepada pihak berkuasa.

“Hasil siasatan awal, mangsa dilaporkan keluar ke laut petang semalam, untuk menjalankan aktiviti nelayan melalui Jeti Inderasabah.

“Berdasarkan laporan dari pihak polis, mangsa disyaki jatuh laut dan hilang selepas keluar ke bagang seorang diri kira-kira jam 5 petang, semalam,” katanya ketika, hari ini.

Menurutnya, bot mangsa ditemukan tanpa pengemudi oleh orang awam pada jam 11 pagi tadi di sekitar perairan antara Kampung Inderasabah dan Pulau Kalumpang.

Katanya, usaha mencari mangsa oleh penduduk kampung dijalankan di sekitar perairan berkenaan, namun gagal menemukan sebarang petunjuk, sebelum membuat laporan kecemasan.

“Pasukan bomba ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat terperinci dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar perairan Inderasabah.

“Operasi ditangguhkan pada jam 7 malam dan akan disambung pada esok hari. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X