KUNJUNGAN HORMAT PERSATUAN ALUMNI KTYS KEPADA PENGERUSI KTYS

KTYS…AJK Persatuan Alumni KTYS bergambar bersama Jame (tujuh dari kanan)

KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah dan Pengerusi KTYS Datuk Jame Alip di pejabatnya di Kampus Sembulan KTYS  di sini pada Rabu lepas.

Pada kunjungan hormat itu, persatuan itu yang diketuai presidennya Pkhruddin Bian menerangkan aktiviti yang telah dan akan dijalankan oleh persatuan itu serta memperkenalkan ahli jawatankuasa baharu untuk sesi 2019-2020.

CENDERAHATI…Pkhruddin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jame

Turut hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah KTYS Dr Budiman Abpa.

Pkhruddin berkata kunjungan hormat itu merupakan usaha diambil oleh persatuan itu untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan pihak pengurusan KYTS.

Katanya ini bagi membolehkan persatuan itu memainkan peranan lebih berkesan terutama dalam membantu KTYS meningkatkan peranannya sebagai sebuah kolej teknikal di bawah agensi kerajaan negeri Sabah.

“Lebih penting pada kunjungan hormat ini adalah mendengar cadangan daripada Jame mengenai peranan boleh dimainkan persatuan alumni KTYS untuk membantu memperkasa kolej itu,” katanya.

Sebelum ini pada Februari lepas, persatuan Alumni KTYS turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif KTYS  Terence S.K.Chee.

Dalam pada itu, Jame yang merupakan bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sabah mahu persatuan alumni KTYS memainkan peranan penting dalam usaha memperkasakan kolej itu dalam menyediakan modal insan berjaya dan sumber manusia.

Menurut beliau ini kerana persatuan alumni itu yang dianggotai oleh bekas pelajar kolej itu yang sudah bekerja dan ada yang menjawat jawatan penting di agensi kerajaan atau swasta merupakan ikon produk keluaran kolej itu.

“Cadangan, lontaran idea dan pembabitan persatuan Alumni KTYS secara tidak langsung perlu untuk membantu KTYS melangkah ke hadapan. “Justeru, kami terbuka untuk mendengar komen atau cadangan dalam membantu memartabatkan KTYS dalam melahirkan modal insan berjaya dan sumber manusia untuk tenaga kerja di negara ini khususnya di Sabah,” kata Jame