KOTA KINABALU: Fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan dijangka berlaku antara Julai hingga September depan jika berlaku aktiviti pembakaran terbuka disebabkan cuaca panas.
Cuaca panas sepanjang tempoh itu adalah kesan perubahan monsun kepada Monsun Barat Daya yang diramal bermula pada Sabtu (10 Mei 2025) yang bakal menyaksikan penurunan jumlah hujan.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata jerebu boleh berlaku jika pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Semasa kemuncak musim ini pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Oleh itu, sebarang pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan bencana jerebu yang akan mencemarkan alam sekitar negara.
“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.
Katanya, musim Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei 2025 dan akan berterusan sehingga September 2025 berikutan keadaan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau Malaysia.
“Sepanjang musim ini, kadar kelembapan udara kelazimannya adalah rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
“Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutama pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai.
Katanya, garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam. – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?