Wanita dilapor hilang di kebun getah

KENINGAU: Seorang wanita dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Johan Jaya, Sook, di sini, sejak semalam.

Saisah Sadiman, 50-an, dikatakan keluar ke kebun getah kira-kira jam 6 pagi semalam dan tidak pulang sehingga hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai terdapat seorang mangsa dikhuatiri hilang.

“Menurut anak mangsa, ibunya pergi ke kebun getah menaiki kenderaan untuk membersihkan kawasan kebun sekitar jam 6 pagi.

“Kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah pada jam 5 petang. Namun sehingga sekarang mangsa belum pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, usaha mencari mangsa oleh penduduk kampung dijalankan dan hanya menemui kenderaan mangsa di kawasan kebun namun mangsa gagal ditemui.

“Talian telefon bimbit mangsa dapat dihubungi tetapi panggilan tidak dijawab. Pasukan bomba ke lokasi untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR dijalankan bersama penduduk kampung dengan radius 100 meter dari lokasi jentera bomba,” katanya.

Tambahnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X