Lahad Datu kena PKP mulai tengah malam ini

Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di Lahad Datu, Sabah, bermula 11 hingga 24 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKP di daerah itu dikuatkuasakan susulan lonjakan mendadak kes baharu Covid-19.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan sebanyak 103 kes positif direkodkan dalam tempoh 14 hari di daerah terbabit selain terdapat 49 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.

“Isu ini dalam siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan (KKM), selain perkara berkaitan jangkitan bakteria atau penyakit daripada telur seperti didakwa, ia perlu dirujuk kepada JPV dan KKM.

Selain itu, katanya, Kampung Bukit Belacon di Segama, Lahad Datu akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 26 kes positif susulan 543 ujian saringan. Tambahnya, kawasan itu menunjukkan lonjakan kes dan kadar jangkitan tinggi sejak seminggu lalu.

Sementara itu, Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah juga dikenakan PKPD selepas 30 kes disahkan positif susulan 113 ujian dilakukan.

Di Sarawak pula, Kolej Politeknik Mukah dan sembilan rumah panjang turut dikenakan PKPD.

Ismail berkata, 13 kes dikesan selepas 72 ujian di kolej berkenaan dengan kadar jangkitan tinggi akibat pergerakan pelajar dan kakitangan di dalam kampus.

Kampung Menuang Baru di Limbang, Sarawak turut dikenakan PKPD selepas 10 kes dikesan positif susulan 165 ujian dilakukan.

Manakala, sembilan rumah panjang di Sungai Duan, Bahagian Mukah, Sarawak yang mencatat 23 kes baharu turut diarah PKPD.

Sementara itu, Ismail turut mengumumkan PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan tamat esok seperti dijadualkan.

Keputusan itu susulan penurunan kes di situ dengan yang terakhir direkodkan pada 6 April lalu iaitu sebanyak dua kes.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata 78 individu turut ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 74 daripadanya dikompaun mana selebihnya direman.

Antara kesalahan direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal (35), merentas negeri/daerah tanpa kebenaran (22), gagal merekodkan butiran diri di aplikasi MySejahtera (11), dan tidak memakai pelitup muka (10).

Seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) juga telah ditangkap dalam Ops Benteng semalam.