Dua lagi SJR kena tambah di jalan masuk bandar Tawau

Dua lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) tambahan menuju ke kawasan badar dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di daerah ini.

Selain itu, PDRM juga turut menutup dua jalan utama iaitu Jalan Tanjung Batu dan Jalan Salleh yang meliputi Simpang Jalan Bahagia, Jalan Dominic, Jalan Bestari serta laluan Lampu Isyarat Telekom Jalan Mawar.

Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Peter Umbuas berkata dua SJR yang ditambah iaitu di laluan Jalan Utara dan Kuhara menjadikan jumlah keseluruhan SJR untuk memasuki kawasan bandar sebanyak lima tempat.

“Sebelum ini PDRM sudah memasang sebanyak tiga SJR iaitu di Jalan Tiku, Batu 2 Jalan Apas dan simpang Jambatan Putih bermula pada 3 April lalu.

“SJR dan penutupan jalan yang dilakukan itu berlangsung 24 jam sepanjang PKP dilaksanakan di daerah ini,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, penambahan SJR dan penutupan jalan dilakukan itu berikutan kes COVID-19 di daerah ini yang masih membimbangkan dan mengehadkan jumlah orang masuk ke kawasan bandar.

“Kita mengharapkan kerjasama daripada penduduk Tawau supaya mematuhi arahan PKP yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di daerah ini.

“Pengguna jalan raya juga diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa di SJR bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang,”katanya.

Peter berkata, pihaknya turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Sukarelawan Simpanan PDRM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA. – Utusan Borneo