Langgar kawasan, PPM Sandakan tahan kapal nelayan tunda

Sebuah kapal nelayan ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dalam Ops Gelora selepas didapati menjalankan aktiviti menunda di kawasan larangan Perairan Laut Tanjung Layar-Layar pada Isnin lepas.

Dalam kejadian lebih kurang jam 12 malam, sepasukan empat anggota PPM Sandakan yang menjalankan Ops Gelora di kawasan perairan berkenaan telah menahan sebuah kapal nelayan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintenden (DSP) Rusdin Banin berkata kapal tersebut ditahan ketika ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang 3 Batu Nautika dari persisiran pantai laut tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat lesen kerana menunda kurang 3 batu nautika dari pesisiran pantai,” katanya.

Beliau berkata kapal beserta 2 awak-awak yang semuanya warganegara Malaysia berumue 28 dan 30-an telah ditahan. 

“Kapal nelayan beserta beberapa peralatan seperti pukat tunda dan pelbagai hasil laut dengan saiz lebih kurang 10 kilogram turut dirampas,” katanya. 

Rusdin berkata kapal nelayan itu kemudiannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM  Sandakan untuk pemeriksaan lanjut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan. 

“Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985. Bagi kesalahan pertama, pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM500, kesalahan kedua RM1,000 dan kesalahan ketiga RM1,500, dan sekiranya kesalahan  berulang lesen boleh dibatalkan dan kapal akan disita,” katanya.

Selain itu, beliau meminta kerjasama orang ramai terutama masyarakat maritim dan  persisir pantai menyalurkan maklumat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi whatsApp ke talian 013-2831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan. – Utusan Borneo