Seramai 28 pengunjung sebuah pusat hiburan di KK Waterfront, dekat sini, masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, malam tadi.
Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, semua yang dikompaun adalah warga tempatan termasuk 12 wanita.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi dijalankan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang diketuainya sendiri selain dibantu oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD Kota Kinabalu, Jo AK Hang.
Mohd Zaidi berkata, operasi membabitkan beberapa pusat hiburan untuk pemeriksaan dan tindakan ke atas pengunjung serta pengusaha yang melanggar SOP.
“Sebuah pusat hiburan di tengah bandar raya ini didapati beroperasi dengan muzik dan pengunjung sedang leka berhibur sambil menikmati minuman keras.
“Seramai 28 pengunjung termasuk 12 wanita dikompaun RM2,000 setiap seorang ekoran tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
“Turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 adalah pemilik premis atas kesalahan beroperasi melebihi had masa,” katanya ketika ditemui.
Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan turut mendapati premis adalah pusat hiburan yang menggunakan lesen kafe dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk beroperasi.
“Kita juga menahan seorang wanita warga asing dipercayai pekerja pusat hiburan berkenaan,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ