LANJUTAN MORATORIUM TIGA BULAN UNTUK INDIVIDU KEHILANGAN KERJA

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada individu yang hilang pekerjaan pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas Lanjutan Moratorium Dan Bantuan Bank Bersasar di Putrajaya, hari ini.

Katanya, syarat yang dikenakan adalah mereka masih belum mendapat pekerjaan baru dan lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.

“Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi masing-masing.

“Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas dan berkurangan akibat Covid-19, bayaran ansuran akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pinjaman,” katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan serta Gabenor Bank Negara Malaysia.

Pada sidang media yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen itu, Muhyiddin turut memberi jaminan institusi perbankan bersedia mempertimbangkan bantuan sewajarnya sekiranya lebih ramai yang memerlukan bantuan.

“Justeru, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

Muhyiddin turut memberi contoh, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *