LAPAN BOT PAM TANGKAP IKAN DI KAWASAN PELANTAR MINYAK DITAHAN

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan lapan bot pam yang didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan laut pelantar ERB WEST, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, PPM Kota Kinabalu yang menerima maklumat daripada Petronas, mengerahkan sepasukan anggota ke kawasan pelantar untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pasukan PPM mendapati hanya dua bot pam bersama juragan masing-masing berusia 30 dan 31 tahun di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh berkata, hasil maklumat tambahan Petronas, terdapat enam lagi bot pam yang berjaya dirakam di kawasan berkenaan sebelum kehadiran PPM.

Katanya, semua keenam-enam individu terbabit kemudiannya dapat dikenal pasti pihak Unit Risikan Marin (URM) PPM.

“Sebaik mendapat maklumat, pasukan PPM terus melaksanakan serbuan ke rumah tidak bernombor Di Kampung Pondo, Pulau Gaya, dan berjaya menahan semua individu terbabit.

“Semua enam individu itu ditahan mengikut kesalahan Akta Kawasan Larangan 1959,” katanya, di sini hari ini.

Enturan berkata, beberapa barangan termasuk bot pam suspek turut dirampas sebelum diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah untuk siasatan lanjut

Sehubungan itu, Enturan mengingatkan warga maritim terutamanya di perairan daerah ini supaya tidak menjalankan aktiviti nelayan di kawasan larangan seperti di perairan pelantar minyak.

Katanya, pihak PPM tidak akan berkompromi dengan kegiatan menyalahi undang-undang di perairan negara ini.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *