Lapan individu dicekup kerana tidak mengormati bulan Ramadan

LABUAN : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan mencekup lapan individu kerana didapati melakukan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan dengan merokok di tempat awam.

Ketua Operasi Penguatkuasaan dan Pencegahan JAWI Labuan, Penolong Pengarah Kanan Ustaz Sazali Ridthouddin berkata, kesemua individu berkenaan bakal didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan dengan merokok ditempat awam.

“Kesemua individu itu ditangkap hasil daripada pemantauan yang dijalankan di beberapa buah premis menjual makanan,pusat membeli belah dan taman rekreasi di sepanjang bulan Ramadan” katanya kepada Labuan fm pada Isnin lepas.

Jelasnya, individu yang didapati tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai serta peniaga yang bersubahat boleh didenda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, JAWI ingin mengingatkan Peniaga Islam yang bersubahat menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa boleh dikenakan tindakan sama di bawah Seksyen 15 (Akta 559) kerana tidak menghormati Ramadan dan Seksyen 43 (Akta 559) kerana bersubahat.
Kes berkenaan akan dibawa ke Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS) untuk pendakwaan di Mahkamah Syariah.

Katanya, JAWI turut mengedar poster di premis makanan dan restoran untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar menghormati bulan Ramadan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan salah laku di bawah Seksyen 15 “Tidak Menghormati Ramadan” ini juga boleh menyalurkan aduan melalui hotline Penguatkuasa JAWI Labuan di talian 087-415311. -SABAH NEWS TODAY