Bung sindir kerajaan GRS hanya suka buat pengumuman

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyindir kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan ‘pengumuman’ kerana mendakwa lebih banyak membuat pengumuman berbanding menyelesaikan isu rakyat.

Dengan mengambil seni kata dalam lagu Cari Jodoh, kumpulan Wali Band dari Indonesia, Bung Moktar berkata membuat pengumuman saja tidak dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat ketika ini, terutama isu air, elektrik dan jalan raya, selain isu pekerjaan.

“Kita sedia kembalikan kegemilangan Sabah termasuk membekal air bersih kepada rakyat Sabah sebab kerajaan hari ini sayapun tidak tahu. Ketua Menteri kata ada peruntukan selesai masalah air tapi pengumuman-pengumuman saja, umum saja, MoU terus, tapi tiada juga, jadi ini adalah kerajaan pengumuman,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah bersama media dan anak yatim, di sini, malam tadi.

Ditanya pemberita selepas itu, Bung Moktar berkata, apa yang ingin disampaikannya ialah rakyat masih dibebani dengan pelbagai masalah walaupun pengumuman demi pengumuman dibuat kerajaan negeri untuk mengatasi isu yang menjadi rungutan rakyat.

“Saya cuma ingin menjelaskan bahawa rakyat dalam keadaan yang tidak baik, prasarana air bersih tiada, letrik mati dan jalan raya teruk.

“Tapi kita melihat pemimpin GRS suka buat pengumuman, kata duit hasil kerajaan RM6.9 bilion dan menerima berbilion pelaburan, tapi tiada juga peluang kerja. Jadi rakyat anggap kerajaan suka buat pengumuman.

“Ketua Menteri juga umum ada peruntukan untuk membaiki loji rawatan air (LRA) di Sabah, tapi paip air macam mana? Air tidak berhasil (NRW) makin meningkat, jadi ini perlu dirancang dengan baik oleh kerajaan,” katanya. –Info X