Lebih 2,400 nyawa berjaya diselamatkan menerusi kempen derma darah

Beaufort : Penganjuran kempen derma darah yang dilaksanakan penduduk sekitar Kampung Bukau dan Lumadan di sini sejak empat tahun lalu berjaya membantu menyelamatkan seramai 2,484 nyawa penerima bekalan darah.

Program yang dilaksanakan melalui 16 siri program itu adalah anjuran pelbagai badan bukan kerajaan di kampung berkenaan.

Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital Beaufort, Dr Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Sabri berkata, jumlah tersebut adalah berdasarkan kiraan satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Beliau yang juga pegawai perubatan bagi Tabung Darah Hospital berkata, berdasarkan rekod pendermaan darah dari kampung itu sendiri telah mencatatkan kutipan sebanyak 828 beg darah iaitu jumlah terkumpul sehingga  Mei tahun ini.

Katanya, penganjur dan penderma darah seharusnya diberikan pujian, kerana mampu mencatatkan kutipan darah sebanyak ini.

Menurutnya lagi, sinergi antara kedua-dua amat penting bagi memberikan kesedaran pendermaan darah yang berulang dapat membantu kelangsungan stok bekalan darah di hospital.

“Bekalan darah yang dikutip di Beaufort sebelum ini, telah berjaya membantu bukan sahaja pesakit-pesakit yang memerlukan di Hospital Beaufort, malah bekalan darah tersebut turut diagihkan ke daerah-daerah lain yang memerlukan, antaranya Kuala Penyu, Sipitang, Papar, Keningau, Kota  Marudu, Pitas, Ranau, Kudat dan beberapa lagi hospital di daerah lain.

“Kesedaran masyarakat juga amat penting, bagi menggalakkan pendermaan darah ulangan, kerana seorang individu mampu menderma sebanyak empat kali dalan jangkamasa setahun dengan jarak pendermaan adalah 58 hari dari tarikh akhir pendermaan darah.

“Malah kebaikan pendermaan darah juga boleh meransang tubuh untuk menghasilkan sel darah merah baru yang lebih berkesan membawa oksigen ke seluruh anggota badan,” katanya.

Dalam pada itu, Syazwan berkata, program derma darah anjuran YY Group dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid An-Nur Kampung Bukau dan Hospital Beaufort semalam berjaya mengutip sebanyak 67 beg darah.

“Kami amat gembira dengan penglibatan penderma-penderma darah generasi muda, ada yang berumur 17 tahun dan 18 tahun yang tentunya menjadi pelapis penderma darah di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi menggalakkan generasi muda menderma darah, Hospital Beaufort giat mengadakan beberapa program di Sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi Awam tahun ini di sekitar Beaufort.

Antaranya adalah di SMK Beaufort 1, Kolej Vokasional Beaufort, SMK Kota Klias dan akan datang Kolej Komuniti Beaufort pada 24 Mei ini. – SABAH MEDIA