Tiga remaja hilang di Ranau ditemui di Sandakan

KOTA KINABALU: Tiga remaja perempuan di Ranau yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu sudah ‘ditemui’ selepas seorang daripada mereka dikatakan menghubungi keluarga petang tadi.

Remaja terbabit, Valensia Mail, 15; Roxanne Abbygail Richard, 13 dan Christivy Holyen Hamdy, 13 dilaporkan keluar dari rumah mereka di Kampung Kaingaran pada jam 5.30 petang untuk mengikuti latihan silat di SMK Ulu Sugut, Ranau pada Jumaat lalu.

Sejak itu, ketiga-tiga mereka dikatakan tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarga risau lalu membuat laporan polis pada malam semalam (Isnin).

Berdasarkan laporan sebuah portal, seorang daripada remaja terbabit, iaitu Roxanne Abbygail ada menghubungi ibunya pada kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Portal terbabit melaporkan bahawa Roxanne memberitahu ibunya bahawa ketiga-tiga mereka tidak balik ke rumah kerana mahu ke Sandakan untuk mencari kerja supaya dapat membeli telefon pintar.

Sementara itu, Ketua Polis Dearah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan ketiga-tiga remaja terbabit di Sandakan.

Katanya, remaja terbabit akan dibawa balik ke Ranau untuk proses soal siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Tiga remaja sudah selamat. Mereka ke Sandakan untuk cari kerja dan menaiki bas bukan naik Perodua Viva,” katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Simiun berkata, polis menerima laporan kehilangan seorang daripada keluarga remaja terbabit pada jam 8.48 malam semalam.

Siasatan awal katanya mendapati ketiga-tiga remaja itu dilihat kali terakhir oleh orang ramai pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam di pekan Ranau.

Ketiga-tiga mereka dikatakan turun dari sebuah bas mini sebelum dijemput seorang lelaki yang kemudian membawa mereka menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih. – Info X