MEMBAKUT: Rakyat Sabah seharusnya tidak perlu terlalu bimbang dengan cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) sebaliknya perlu lebih takut dengan kehadiran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke negeri ini.
Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, PSS bukanlah sesuatu yang harus ditakuti kerana ia bukan sahaja hanya setakat pentadbiran, tetapi ia belum pun dimuktamadkan.

“Rakyat tidak harus takut kepada PSS tapi apa yang kita harus berhati-hati adalah PAS kerana kita harus elakkan Sabah daripada mempunyai pelampau agama.
“Seperti kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kita berlainan tapi kita orang Sabah, hati kita satu.
“Jangan termakan dengan kata-kata mereka (Umno/PAS) … yang kita mahu tolak di Sabah adalah parti yang kali-kali mau jadi tuan, kita mahu tolak Umno dan Pas,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 di sini, kelmarin.
Madius berkata demikian berikutan laporan mengatakan PAS menghantar seramai kira-kira 1,000 ahli untuk berkempen bagi UMNO sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Madius meminta rakyat di Kimanis supaya menolak sebarang usaha pihak luar untuk mengembangkan unsur ekstremism agama yang boleh mengakibatkan perpecahan perpaduan.
“Memang di Sabah kita sudah biasa, kita boleh mengucapkan Selamat Hari Raya, Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan, Merry Christmas kepada kawan-kawan kita.
“Tetapi di semenanjung ini sudah dipersoalkan dan bahawa hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh mengucapkan Merry Christmas. Kalau ada orang yang berkata begitu kita mestilah berhati-hati,” katanya lagi.
PSS adalah cadangan oleh satu jawatankuasa pada tahun 2010 namun belum pun dibentangkan sama ada di peringkat Kabinet Negeri ataupun Persekutuan.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius