LELAKI CUBA SERANG POLIS DITEMBAK MATI

LAHAD DATU: Polis menembak mati seorang lelaki warga asing dipercayai pengedar dadah di sebuah ladang kelapa sawit, di sini.

Suspek, Tas @ Tans, 30, ditembak selepas dipercayai cuba menyerang anggota polis dalam kejadian jam 9.30 malam itu.

Difahamkan, suspek juga adalah penjenayah dikehendaki yang dipercayai menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata sebelum itu, sepasukan polis yang melakukan rondaan di kawasan itu sebelum terserempak dengan suspek yang menaiki motosikal.

Katanya, suspek bertindak terjun sebaik menyedari kehadiran polis dan melarikan diri ke arah ladang sawit.

“Polis cuba mengejar suspek, namun suspek terus melibas parang ke arah anggota polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai dada mangsa.

“Akibat tembakan itu, suspek maut di lokasi kejadian dan pemeriksaan lanjut ke atas suspek, polis menemui tiga bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 13.6 gram pada,” katanya di sini, hari ini.

Nasri berkata, polis turut merampas sebilah parang berukuran 56 sentimeter yang digunakan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. –http://beritasabah.com