Lokasi kemalangan maut di Jalan Sin Onn, Tawau kelmarin
Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU: Seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal maut setelah dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan SJk (C ) Hing Hwa, Jalan Sin Onn kelmarin.
Ketua Polis Daerah ACP Peter Umbuas berkata kemalangan membabitkan dua buah motosikal yang ditunggang mangsa dan rakan sekerjanya serta sebuah kenderaan pacuan empat roda pada kira-kira jam 4.10 petang.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Junjun kerja di sebuah premis cuci kereta dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Motosikal yang ditunggangnya didaftar atas nama jirannya manakala motosikal rakan didaftar atas nama bapa saudara rakan itu, kata Peter.
Siasatan polis menunjukkan mangsa dan rakannya dalam perjalanan dari Jalan Sin Onn ke bandar manakala pemandu kenderaan dari arah Taman Sani menuju ke Taman Meteor, katanya lagi.
Kemalangan berpunca dari rakan mangsa yang mengekori terlalu rapat sehingga melanggar bahagian belakang motosikal mangsa. Ini menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar kenderaan pacuan empat roda tersebut, tambah beliau.
Menurut Peter, mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tawau dan rakan mangsa patah tulang jari kaki kiri manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kedua-dua mangsa dan rakannya berumur 16 tahun, kata beliau.
“Pihak polis sedang menyiasat kes dibawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Peter.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ