LABUAN: Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di luar sebuah rumah yang terbakar di Kampung Lubok Temiang, Simpang Mat Isa, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Usman Tuan, 53, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, kejadian membabitkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 55 meter persegi yang musnah sepenuhnya.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.20 pagi.
“Seramai 21 anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi untuk membantu dan mangsa ditemui di luar rumah setibanya pasukan operasi di tempat kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Labuan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 3.02 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.11 pagi.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik bomba,” katanya. – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?