TAWAU : Politeknik Tawau Sabah (PTS) menganjurkan Program ‘Singgah Sahur 2025’ sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan di daerah ini.
Pwngarahnya, Mohd. Sahran @ Awang Mohidin berkata, program ini bertujuan menyampaikan penghargaan kepada petugas keselamatan serta kecemasan yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah.

Katanya, program ini bukan sahaja menyampaikan juadah sahur, malah juga sebagai manifestasi semangat keprihatinan dan penghargaan terhadap anggota bertugas sepanjang bulan Ramadan.
“Petugas barisan hadapan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, terutamanya di kawasan Tawau.

“Justeru, Program Singgah Sahur ini adalah tanda sokongan kami kepada mereka yang bekerja sepanjang malam,” katanya di sini semalam.
Mohd. Sahran berkata, antara lokasi menerima edaran juadah sahur termasuk anggota dan kakitangan Balai Polis Sri Indah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, TLDM KD Sri Tawau, serta Hospital Besar Tawau.

“Kemuncak program ini adalah sesi penutupan bersahur bersama anggota Bomba dan Penyelamat Bahagian Tawau.
“Ini adalah adalah sebagai tanda sokongan Politeknik Tawau Sabah serta tanda terima kasih kami kepada petugas yang bertugas sepanjang malam,” jelas Mohd Sahran.
Menurutnya, program ini mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dalam usaha memberikan sedikit semangat kepada petugas barisan hadapan yang komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Usaha sebegini mencerminkan sikap prihatin serta sokongan berterusan daripada Politeknik Tawau Sabah kepada masyarakat yang memerlukan.
“Program ini merupakan inisiatif Politeknik Tawau Sabah untuk menghargai pengorbanan anggota keselamatan dan kesihatan yang sentiasa bersedia menjalankan tugas tanpa mengira waktu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar program membawa penuh keberkatan ini akan dijadikan program tahun Politeknik Tawau Sabah sekali gus diteruskan pada masa depan.
“Kita melihat mewujudkan kerjasama disamping mengukuhkan lagi sifat bermasyarakat ahli-ahli jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) merupakan mahasiswa Politeknik Tawau Sabah.

“Penglibatan mereka bukan sahaja memberi fokus berkaitan pencapaian akademik, malah usaha pembentukkan sahsiah mahasiswa juga perlu dilakukan secara berterusan,” kata Mohd Sahran.
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan