LELAKI HILANG DI HUTAN DITEMUI MATI 

Oleh Faizal Rahman

SEMPORNA: Penduduk kampung telah menjumpai mayat lelaki yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Siaban dekat sini pada hari Rabu.

Mangsa ditemui pada jam 5.30 petang di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Lihak-Lihak lebih kurang 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Lelaki yang dikenalpasti sebagai Harianto Pungut berumur 30an tahun, disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Maklumat yang diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat Semporna ialah mangsa telah masuk ke dalam hutan bersama dua orang rakannya pada jam 8.00 pagi hari Selasa,tetapi hanya dua orang yang keluar pada jam 4.00 petang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang melibatkan anggota Bomba, polis dan penduduk kampung, telah dilaksanakan untuk mengesan mangsa pada pagi hari Rabu. SAR ditamatkan pada jam 6.35 petang semalam selepas mayat mangsa ditemui.