Oleh Wartawan BS
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai dalam keadaan khayal selepas mengambil dadah bertindak merempuh dua anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika rumahnya di Kampung Tebobon, dekat sini diserbu, semalam.
Ketika serbuan, lelaki berusia 44 tahun itu bertindak agresif apabila anggota AADK Kota Kinabalu yang diketuai Zakry Mat Zudin cuba menahannya, malah suspek juga tidak mengaku mengambil dadah.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan anggota AADK mendapati suspek dipercayai baru saja selesai menghisap syabu.
Pemeriksaan lanjut menemui gam dan sebilah parang yang disimpan pada pinggangnya.
Bagi mengelak ditahan, suspek kemudian memberi alasan kononnya hendak “menghidupkan’ orang yang mati lalu sekali lagi bertindak agresif.
Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, suspek terbabit antara lima lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan kira-kira jam 10 hingga 3 pagi semalam.

“Operasi yang dijalankan di empat kampung di daerah ini, Putatan dan Penampang menahan lima lelaki kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan air kencing mendapati semua mereka didapati positif dadah jenis syabu,” katanya di sini.
Lawrence berkata, semua suspek berusia 19 hingga 50 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Pihak AADK Kota Kinabalu akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, AADK Negeri turut menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 38 tahun kerana positif dadah dalam sekatan jalan raya bersama PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar di Jalan Lok Kawi.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK