LELAKI MAUT DITETAK RAKAN SEKERJA

BELURAN: Seorang pekerja ladang warga Filipina maut ditetak di leher menggunakan parang dalam kejadian di Ladang Sabang Maju, Sugut, dekat sini, tengah malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah rumah kongsi pekerja ladang dengan suspek yang juga rakan sekerja mangsa dikatakan melarikan diri sebaik menetak mangsa.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kassim Muda, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca oleh suspek yang cemburu terhadap mangsa kerana dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan bekas isterinya.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek yang dikenali sebagai Marvin Ramiris berusia 20 tahun.

“Polis giat mengesan suspek bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkan kepada polis,” katanya di sini, hari ini.

Orang ramai boleh berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di talian 089-511222.-http://beritasabah.com