Lelaki maut, rakan wanita parah

PUTATAN: Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng yang juga rakannya parah selepas motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Papar – Kota Kinabalu, dekat Pusingan U, Bukit Vor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.57 petang itu, penunggang motosikal lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng wanita berusia 22 tahun dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (QEH I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dari Jalan Kota Kinabalu membuat pusingan U menuju ke Teluk Villa, telah dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah Jalan Putatan ke Kota Kinabalu.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal warga tempatan tercampak bersama motosikalnya di bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pembonceng turut parah di bahagian kaki dan dibawa ke QEH I, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lokasi kemalangan maut di Jalan Papar – Kota Kinabalu, dekat Pusingan U, Bukit Vor, Putatan.

Sammy berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami apa-apa kecederaan fizikal.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik QEH I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. –Info X