PAPAR: Hujan yang terhasil menerusi operasi pembenihan awan pada Khamis dan Jumaat lalu belum dapat menurunkan kadar kemasinan air Sungai Papar menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau belum dapat beroperasi semula.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Fuad Abdullah, berkata bacaan tahap kemasinan air Sungai Papar di muka sauk LRA itu masih tinggi, setakat semalam.
“Setakat jam 3 petang Isnin, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Papar merekodkan bacaan tahap kemasinan air agak tinggi dengan jumlah 3,038 miligram per liter (MGL) di LRA EWSS Limbahau dan ia masih tidak dapat dirawat,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian bencana kemarau daerah Papar, di sini.
Loji berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) itu ditutup sejak lebih sebulan lalu, manakala sebuah lagi LRA berkapasiti sama dikendalikan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd hanya dapat beroperasi separuh daripada kapasitinya.
Situasi itu menyebabkan kira-kira 150,000 penduduk di daerah ini berdepan masalah air yang kritikal hingga Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau sejak 13 Mac lalu.
LRA yang ditutup hanya boleh beroperasi semula apabila tahap kemasinan air sungai akibat kemasukan air laut dari kuala Sungai Papar kembali ke paras maksimum yang boleh dirawat iaitu 120 MGL.

Sementara itu, Mohd Fuad berkata, operasi pembenihan awan di ruang udara Papar hanya dilakukan pada 28 Mac dan 29 Mac lalu, manakala masing-masing tiga operasi iaitu sehinga 30 Mac lalu dilaksanakan di Lahad Datu dan Tawau.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan tidak dapat dilaksanakan di Papar pada 30 Mac berikutan tidak mendapat pelepasan untuk terbang di ruang udara daerah itu daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Jelasnya, laporan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) berdasarkan bacaan tolok hujan selepas operasi pembenihan awan itu menunjukkan daerah Papar hanya menerima hujan sebanyak empat milimeter pada 29 Mac, manakala 26 milimeter di Lahad Datu pada 28 Mac.
“Hanya di Tawau mencatat bacaan hujan dua hari berturut-turut, masing-masing 2.7 milimeter pada 28 Mac dan dua milimeter pada 29 Mac, manakala tiada bacaan hujan direkodkan di ketiga-tiga daerah pada hari ketiga operasi pembenihan awan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya Imej Gema Radar dikeluarkan MET Malaysia menunjukkan ada cerapan hujan dikesan selepas operasi pembenihan awan pada ketiga-tiga hari operasi di kawasan yang disasarkan dengan purata curahan hujan antara lima hingga 10 milimeter. –Info X
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026