Oleh Wartawan BS
BEAUFORT: Seorang lelaki maut manakala suami isteri parah dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Beaufort-Menumbok, Kampung Mempagar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, pemandu Perodua Axia Lusim Conolius @ Hilarion, 55, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Beaufort.
Pemandu sebuah lagi kenderaan yang juga jenis Perodua Axia iaitu lelaki berusia 46 tahun dan isterinya, 46, yang duduk di bahagian penumpang hadapan parah dan menerima rawatan di hospital sama manakala anak lelaki pasangan itu berusia 12 tahun hanya cedera ringan.
Sementara itu, isteri kepada Lusim, berusia 39 tahun yang duduk di penumpang hadapan turut cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Axia dipandu Lusim bersama isterinya dalam perjalanan dari arah Kuala Penyu menuju ke Beaufort manakala kereta jenis sama dipandu pasangan suami isteri dan anak mereka datang dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa (Lusim) dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dinaiki tiga beranak itu.
“Akibat daripada kejadian itu, pemandu (Lusim) meninggal dunia manakala pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta parah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat, manakala mangsa yang parah dan dua cedera ringan dirawat di hospital sama.
“Kedua-dua kereta itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
“Siasatan masih diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK