Lelaki melecur di kaki, rumah 2 tingkat musnah terbakar

SIPITANG: Seorang lelaki melecur pada kaki dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Mesapol, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba, Calvin Joe Jeafery berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.12 malam.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman satu aliran, dua pancutan daripada sumber air jentera dan satu aliran pam angkut dari sumber air sungai.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 30 tahun terbabit mengalami cedera ringan melecur di kaki diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal pada jam 9.56 malam dan tamat sepenuhnya pada 11.40 malam.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity,” katanya. – Info X