LELAKI TEMPATAN MILIKI DADAH BERNILAI RM52,500 DITAHAN

SANDAKAN: Polis merampas 1008.38 gram dadah jenis Methamphetamine yang dianggarkan berjumlah RM52,500 dan menahan seorang lelaki tempatan di sini, Selasa lalu.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Sekretariat Nukleus (Sabah) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menerusi sekatan jalan raya di Batu 30, Ulu Dusun, dekat sini, pada jam 8 malam.

Ketika ditahan, suspek dikatakan dalam perjalanan ke arah Sandakan dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan digunakan suspek menemui dadah yang dibungkus dengan plastik.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata suspek memberi alasan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan tujuan mengambil kelapa di daerah lain, untuk mengaburi pihak polis.

Sebaliknya, katanya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari daerah jiran untuk diedarkan ke pasaran daerah ini.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Risikan sedang dijalankan untuk mengesan pembekal dadah. Ini adalah rampasan ketiga terbesar untuk daerah Sandakan pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 19 Mei.-http://beritasabah.com