KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki warga Pakistan kerana membawa barang kawalan gula pasir tanpa lesen atau permit dalam ‘Op Taring Landai’, kelmarin.
Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di kawasan Jalan Kuala Putatan 1, di sini, dan merampas gula pasir seberat 720 kilogram (kg) yang disimpan dalam kenderaan jenis Toyota Avanza.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslee Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan PPM Kota Kinabalu mengekori sebuah kenderaan dari arah Kinarut menuju ke Putatan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan PPM mengarahkan kenderaan itu untuk berhenti di tepi jalan kerana disyaki menjalankan kegiatan penyimpanan dan membawa barangan kawalan.
“Selepas kenderaan itu berhenti, pasukan operasi membuka pintu kereta untuk pemeriksaan.
“Hasilnya menemui longgokan gula kasar berlabel barang kawalan Malaysia yang disimpan di bahagian belakang kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Roslee berkata, pemeriksaan ke atas suspek mendapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek juga tidak memiliki lesen memandu ketika membawa kenderaan di tempat awam.
“Nilai keseluruhan rampasan RM47,102. Tangkapan dan rampas barang berkenaan dibawah Akta Kawalan Bekalan kerana tiada permit yang sah,” katanya.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek tidak mempunyai lesen atau permit untuk menyimpan dan membawa gula kasar dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis