TUARAN: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dengan kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian berhampiran stesen minyak Jalan Berungis – Tenghilan, di sini, semalam diberkas polis.
Suspek warga Pakistan ditahan ditahan polis ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu, kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian kes kemalangan maut membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal jenis Modenas Kriss dan kereta jenis Proton Wira, pada jam 1.10 pagi semalam.
Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang Proton Wira dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut telah dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sejuru sahaja laporan polis diterima dan setakat ini beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan.
“Pada hari sama, kira-kira jam 11 pagi, bertindak atas maklumat yang diterima, polis berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan yang menerima rawatan di Wad Kecemasan HQE I, Kota Kinabalu dipercayai suspek yang terbabit di dalam kemalangan maut berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan 24 jam dan siasatan lanjut serta usaha mengesan rakan suspek masih diteruskan.
Sehubungan itu, Noraidin berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat hingga suspek yang terbabit berjaya diberkas.
Katanya, polis menyeru supaya orang awam atau individu-individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat dan membantu siasatan.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak menyalurkan sebarang spekulasi berkenaan kes kemalangan itu supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu dan tidak benar serta tidak mengganggu siasatan yang dijalankan. – Info X
More Stories
Miliki petrol tanpa lesen,dua lelaki didenda RM10,000 dan RM6,000 seorang lagi dipenjara
Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di EEZ Malaysia
Tiga individu diserang memerang ketika berjoging