Wanita mengaku beri maklumat palsu kepada JPN dipenjara 4 tahun

TAWAU: Seorang wanita dihukum penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2011 dan 2012.

Tertuduh, Kartinadari Amai, 56, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu dalam sijil kelahiran tiga orang anak dengan mengaku dirinya sebagai ibu kandung.

Selain itu, tertuduh turut menjadi penganjur bagi dua permohonan kad pengenalan di JPN Tawau, pada 11 Mac 2011 dan 16 November 2012.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Nadzeri, manakala tertuduh diwakili peguam Jhasarry P Kang.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan kesan serius tindakan tertuduh dan menjatuhkan hukuman yang sepadan sebagai pembalasan serta menegakkan keadilan masyarakat.

Don Stiwin kemudian menjatuhkan hukuman penjara masing-masing dua tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan pada 30 Ogos lalu. – Info X