KOTA MARUDU: Tindakan seorang lelaki yang menunjukkan kelakuan mencurigakan menyebabkan ketakutan dan rasa kurang senang kepada pelanggan di sebuah pasaraya di sini.
Orang awam kemudiannya bertindak memaklumkan kejadian kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata sepasukan polis kemudiannya digerakkan ke lokasi dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 2.55 petang pada 27 Februari lalu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berumur 36 tahun.
“Semasa ketibaan pihak polis di premis terbabit, lelaki berkenaan didapati bercakap seorang diri menggunakan bahasa yang tidak difahami dengan meninggikan suara kepada anggota polis terbabit.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk tindakan lanjut,” katanya semasa dihubungi.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek adalah individu kurang siuman dan berasal dari Kudat.
“Suspek datang ke Kota Marudu untuk berjalan-jalan dan tidak mendatangkan ancaman kepada orang awam malah hasil ujian urin terhadap suspek juga menunjukkan suspek tidak terlibat dengan sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Kelakuan suspek di pasaraya terbabit bagaimanapun menyebabkan rasa kurang selesa kepada pengunjung berikutan mereka tidak mengetahui keadaan sebenar suspek,” katanya.
Beliau berkata suspek kemudiannya dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk pemeriksaan lanjut.
Terdahulu video menunjukkan suspek ditahan di premis terbabit ditularkan di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Terdapat juga pengguna media sosial terbabit mendakwa keadaan di Kota Marudu sudah tidak selamat berikutan penyamun tidak segan silu menjalankan kegiatan jenayah di tempat awam.
Zairolnizal bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mengugat keamanan dan berhubung terlebih dahulu kepada pihak polis atau sumber boleh dipercayai untuk mendapatkan sebarang maklumat sahih.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ