Lemas di Sungai Kiulu, program perkelahan bertukar tragedi

Program perkelahan sebuah sekolah tahfiz di Disan Baang, Sungai Kiulu, Tamparuli, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada pelajar meninggal dunia akibat lemas, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun mandi di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

Rakan-rakan mangsa dikatakan cuba membantu menyelamatkan mangsa namun gagal disebabkan arus yang terlalu deras.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, semua pelajar-pelajar sekolah tahfiz dari Papar itu kemudiannya membuat pencarian di sepanjang tepi sungai berkenaan.

Katanya, mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dikatakan hanyut sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa dibawa ke Pusat Kesihatan Kecil Kiulu kira-kira jam 7.30 pagi untuk pemeriksaan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi. – Asia Times