LEMAS DITARIK OMBAK

SANDAKAN: Hasrat seorang penghantar makanan menghabiskan baki cuti untuk memancing bersama dua beradiknya berakhir apabila lelaki itu ditemui lemas selepas dihanyutkan ombak dalam kejadian di pantai Kampung Dandulit, Batu 12, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Fadlizan Idris, 20, bersama abangnya, Farizan, 23, dan adiknya, Fitri, 13, dikatakan pergi ke tepi pantai berkenaan untuk memancing.

Selang kira-kira 30 minit, tiga beradik itu dipercayai ke kawasan berbatu berhampiran pantai sebelum mereka dihanyutkan ombak kuat.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki, berkata Farizan dan Fitri sempat diselamatkan oleh seorang nelayan yang kebetulan berada di tepi pantai, manakala Fadlizan hilang dibawa arus.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 1 tengah hari membabitkan dua bot maritim, selain bantuan daripada polis, bomba dan penduduk kampung.

“Mangsa ditemui pada jam 3.22 petang,
kira-kira 30 meter dari kawasan mangsa dipercayai dihanyutkan ombak.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata siasatan awal polis mendapati kes itu tidak mempunyai unsur jenayah.

Katanya, mayat mangsa sudah dicam keluarga dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *