LIMA LELAKI INGKAR PKP, BUAT KERJA UBAH SUAI RESTORAN

KOTA KINABALU: Polis menahan lima lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di sebuah restoran tanpa permit dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di kawasan Kolombong Baru, di sini, pagi tadi.

Semua suspek berusia 18 hingga 54 tahun ditahan anggota Balai Polis Inanam yang sedang membuat rondaan cegah jenayah dan pematuhan PKP, jam 11 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, ketika ditahan semua suspek sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di restoran berkenaan.

“Semakan juga mendapati semua mereka tidak mempunyai permit menjalankan pengubahsuaian dan ingkar PKP.

“Siasatan juga mendapati pemilik restoran itu membenarkan mereka untuk membuat kerja-kerja pengubahan kecil di restoran berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati tiga daripada suspek tinggal di Putatan manakala dua lagi masing-masing tinggal Petagas dan Penampang.

“Semua suspek dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 11(1) Peraturan – Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa patuh kepada arahan PKP dan polis bertindak tegas menangkap mereka yang ingkar,” katanya./beritasabah.com