KOTA KINABALU: Semua pelajar Sabah yang terkandas di Semenanjung dan Sarawak dan ingin kembali ke negeri ini perlu menjalani ‘swab test’ sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KKIA) atau sebaik sahaja tiba di Kota Kinabalu.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ia adalah prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
“Sebaik selesai menjalani swab test, pelajar-pelajar akan dibenarkan balik dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing. Bagi pelajar yang bergejala, mereka akan dimasukkan ke pusat kuarantin.
“Bagi pelajar yang rumah mereka tidak sesuai atau tidak memenuhi kriteria untuk kuarantin di rumah maka pelajar tersebut terpaksa tinggal di pusat kuarantin.
“Contoh tidak kesesuaian ialah tiada bilik persendirian yang mempunyai tandas sendiri atau rumah terlalu ramai penghuni dan terdapat warga emas yang tinggal bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi pelajar yang balik dari luar negara dan belum dikuarantinkan di Kuala Lumpur, perlu masuk ke Pusat Kuarantin selama 14 hari apabila tiba di negeri ini.
Dr Yusof berkata, mengikut data terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jumlah pergerakkan pelajar adalah, dari Semenanjung dan Sarawak ke Sabah seramai 11,653 dan jumlah pelajar dari Sabah ke Semenanjung dan Sarawak pula adalah 3,375.
“Semua tiket penerbangan akan dibiayai di bawah KPT. Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dilantik dan dipertanggungjawabkan sebagai pengurus Zon Sabah oleh KPT.
“Universiti berkenaan bertanggungjawab untuk mengurus semua pergerakan pelajar keluar, masuk dan dalam negeri Sabah,” katanya./beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ