Loke sah jumpa pelabur berpotensi MYAirline

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sudah menemui pihak berminat melabur dalam syarikat penerbangan bermasalah, MYAirline.

Katanya, mereka terdiri daripada perkongsian antara pelabur Timur Tengah dan sebuah syarikat tempatan.

Tetapi, beliau berkata, terlalu awal untuk kerajaan mendedahkan lebih banyak butiran.

“Mereka datang jumpa kami dan menyatakan keputusan melabur dalam syarikat itu, dan saya kata (terpulang kepada anda). Selagi anda patuhi undang-undang kami, tiada masalah,” katanya selepas pelepasan khas Batik Air bagi laluan Kuala Lumpur-Sibu di klia2.

“Saya nyatakan dengan sangat jelas kepada mereka berhubung dasar kami, 51% (kepentingan syarikat penerbangan itu) perlu dimiliki sebuah syarikat tempatan.”

Loke berkata, pelabur berpotensi meminta nasihat kementerian berhubung “langkah seterusnya” untuk MYAirline, yang menggantung operasinya secara mengejut pada 12 Okt lalu atas alasan kekangan kewangan, 11 bulan selepas beroperasi.

Beliau memberitahu pelabur berpotensi bahawa mereka perlu lihat melangkaui penerbangan domestik dan cara menjadikan syarikat penerbangan itu “lebih menarik”.

Tetapi, Loke menekankan terpulang sepenuhnya kepada pelabur untuk membuat sebarang keputusan komersial.

“Bagi kerajaan, mereka perlu mematuhi semua proses dan peraturan kami.”

Selain syarat 51% ekuiti tempatan, beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga perlu mempunyai dua lesen – sijil pengendali udara (AOC) dan lesen perkhidmatan udara (ASL) yang dikeluarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Bulan lalu, Loke dilaporkan berkata, mana-mana pelabur yang mahu memulihkan MYAirline perlu memastikan semua penumpang membuat pembayaran balik dan membayar tunggakan gaji kakitangan.

“Jika mereka dapat memenuhi dua syarat ini, maka kita boleh mula berunding.”