Lori terbalik, pemandu maut tersepit dalam kenderaan

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas lori simen dipandunya hilang kawalan lalu terbalik di bahu jalan di kawasan Loji Cinta Mata Gate Merah, di Jalan Table, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Kiko berusia lingkungan 40 tahun yang tersepit dalam lori berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya pihaknya menerima panggilan pada jam 9.53 pagi.

Katanya, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Syed Muhd Rudaifi digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, terdapat kemalangan membabitkan lori siman dipercayai hilang kawalan lalu terbalik di bahu jalan.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keadaan lori simen yang terbalik di kawasan Loji Cinta Mata Gate Marah, di Jalan Table, Tawau. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 11.35 pagi,” katanya. – Info X