Taburan hujan rendah sepanjang Monsun Barat Daya bermula 17 Mei

KOTA KINABALU: Kekerapan hujan dijangka merosot semula sepanjang Monsun Barat Daya yang diramal bermula pada 17 Mei ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata musim Monsun Barat Daya akan berterusan sehingga September depan.

“Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan.

“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.

Jelasnya, garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Jerebu turut diramal berlaku sepanjang Monsun Barat Daya terutama antara Julai hingga September.

Tambahnya, dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu juga boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutama pada Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.

“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.

Beliau berkata, maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan Hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – Info X