MADIUS KOMITED, JALAN KAKI KE MESYUARAT

BEAUFORT: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berjalan kaki sejauh satu kilometer tengah hari tadi kerana komited membantu calon Kerajaan menang dalam pilihan raya kecil Kimanis.

Selepas penamaan calon selesai, beliau bergegas ke Beaufort Sentral untuk mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa operasi UPKO.

Belum pun selesai, beliau meminta pengarah operasi UPKO, Nelson W Angang menyambung mesyuarat sementara Madius, diiringi ketua bahagian UPKO Kimanis Lawrence Odong, bergegas pula ke Pejabat Daerah untuk menghadiri taklimat yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal.

Ribuan orang yang datang ke Dewan Dun Banir untuk penamaan calon menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teramat sangat di sini.

“Saya menaiki kenderaan untuk ke Pejabat Daerah, tetapi lalu lintas sangat sesak dari semua arah. Selepas tidak dapat bergerak selama hampir 30 minit, saya memutuskan untuk berjalan kaki.

“Tidak juga terasa jauh kerana Lawrence bersama saya. Dan memang sesak, sepanjang-panjang kami berjalan, kenderaan langsung tidak bergerak. Ramai juga yang melambai lah,” kata Madius sambil tersenyum.

Setelah berjalan sejauh lebih satu kilometer, sebuah kenderaan milik Warisan Sepanggar hanya ada ruang untuk Madius di 500 meter terakhir ke Pejabat Daerah.

“Terima kasih kepada Warisan Sepanggar dan Lawrence kerana bersama dalam perjalanan saya itu. Ini satu kerjasama jitu.

“PRK kali ini wajar diambil serius dan setiap kita wajib komited agar Datuk Karim menang. Itu komitmen UPKO,” katanya.

Lawrence dan Newbaxter Tibin selaku pengawal peribadi Madius, menghabiskan perjalanan selebihnya dengan cukup bergaya dan agak basah kerana jam di tangan ketika itu tepat 12.15 tengah hari.