KUNAK: Walaupun sudah dua kali ditahan kerana dadah, seorang lelaki disyaki ‘tokan’ dadah tidak serik melakukan kegiatan itu apabila ditahan sekali lagi, semalam.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di tapak curi kenderaan, Simpang Empat, di sini, jam 3.42 petang.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan sebuah kereta jenis Produa Viva yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam Perodua Viva itu, polis menemukan satu beg kecil di atas alas kaki bahagian pemandu.
“Pemeriksaan lanjut menemui enam peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 51.91 gram dianggarkan bernilai RM7,786,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Baharin berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methampetamine.
“Siasatan lanjut mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah pada tahun 2015 dan 2018.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ