Madius lawat, beri sumbangan penduduk sakit di Kampung Timbou

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau terus aktif melayani khususnya bagi meringankan bebanan rakyat yang kurang bernasib baik.

Kelmarin, beliau telah mengadakan lawatan ke Kampung Timbou Topokon untuk mengunjungi tiga rumah yang mempunyai ahli keluarga yang sedang sakit.

Beliau mengunjungi Surinding Bulang yang kini hanya mampu berbaring kerana penyakit yang dialami .

“Sedih sekali melihat keadaan dia. Saya bercerita dengan dia, memberi kata-kata semangat untuk dia kekal kuat.

“Saya sampaikan keperluan termasuk lampin pakai buang, bakul makanan dan beras untuk bantu meringankan bebanan keluarga,” kata Madius.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut melawat rumah seorang lagi penduduk, Titus Guntolid.

Ujar beliau, seorang anak Titus telah mengalami kemalangan baru-baru ini.

“Ketika saya sampai di rumah, keadaannya sudah beransur pulih namun masih berkerusi roda kerana kaki sebelah kirinya masih sedang dalam proses penyembuhan.

“Syukur semuanya baik-baik sahaja. Kita doakan kesembuhan saudara Carlos,” jelas Madius yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Keprihatinan anak jati Kampung Lokos Kiulu ini tidak terhenti di sana apabila meneruskan kunjungan terhadap seorang lagi penduduk di Kampung Timbou yang menghidap penyakit buah pinggang.

“Saya mengunjungi Suyab Dunding, beliau juga pernah melalui pengalaman dijangkiti Covid-19.

“Kami bercerita, dan saya bertanya dia tentang bagaimana keadaan dia sekarang. Saya juga sampaikan sumbangan bakul makanan dan beras untuk meringankan bebanan keluarga,” katanya.

Madius hadir ditemani beberapa pemimpin masyarakat termasuk mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Jeffrey Teo.