MINIT MESYUARAT BUKTI BN AKAN LAKSANA PRSS

Oleh Wartawan BS

PAPAR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan yang Barisan Nasional (BN) dan UMNO berbohong apabila mereka menafikan telah mencadangkan pelaksanaan Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) yang kini dikenali sebagai Pas Sementara Sabah (PSS).

Pendedahan itu dibuat menerusi minit mesyuarat berkaitan pelaksanaan PRSS yang dihadiri bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman serta Menteri Dalam Negeri sebelum ini yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin juga berkata, PRSS bagaimanapun gagal dilaksanakan selepas BN tumbang dalam pilihan raya umum lalu.

“Perbincangan yang saya sebutkan tadi, tarikh-tarikh tadi itu merujuk kepada masa tersebut dan ketika zaman beliau (Ahmad Zahid), betul dia tidak putuskan kalau sudah putus dia sudah laksanakan tetapi niat untuk buat itu sudah ada untuk laksanakan, lepas itu dia kalah.

“Jadi kita pula ambil alih tidak semestinya kita mahu teruskan tetapi kita berpendapat supaya kerajaan ini bertanggungjawab ini juga adil dan munasabah, tiga sistem itu kita cari jalan supaya seragamkan, itu tujuan sebenarnya jadi tidak kisahlah apa mereka fikirkan atau bincangkan yang penting di peringkat kita, mereka pernah fikirkannya tetapi sekarang bantah, pasal dia pembangkang mesti bantah sahajalah,” katanya dalam sidang akhbar mengenai PSS di sini, kelmarin.

Muhyiddin, walaupun pemimpin BN menjadikan isu PSS sebagai modal berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, mereka tidak boleh menafikan setiap kandungan dan perbincangan yang direkodkan dalam minit mesyuarat tersebut.

Katanya, terdapat tiga mesyuarat yang dijalankan oleh kerajaan terdahulu untuk melaksanakan PRSS iaitu bermula di peringkat pegawai kerajaan pada 31 Julai 2015 diikuti dengan mesyuarat melibatkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) sebelum itu pada 15 Februari 2016.

“Mesyuarat terakhir yang mempersetujui pelaksanaan PRSS adalah pada 16 Mei 2016 yang dipengerusikan sendiri oleh Ahmad Zahid dan Musa.

“Ikut rekod yang ada di dalam kementerian saya, cadangan pemerluasan PRSS ini telah pun dibentang dan dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Bilangan 2 2015 sebelum kami menjadi kerajaan iaitu pada 31 Julai 2015 oleh SKN Sabah keputusan dalam mesyuarat itu ialah Press yang diberikan kepada pemegang-pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci ini oleh pentadbiran yang lalu.

“Cadangan dasar Press telah dibentang dan dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa pada 15 Februari 2016 selepas mesyuarat di peringkat pegawai, peringkat jawatankuasa dipersetujui secara bersama oleh KSU KDN dan SKN Sabah dulu.

“Cadangan dasar Press ini juga kemudian telah dibentang di peringkat jawatankuasa pengurusan warga asing Sabah pada 16 Mei 2016, mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri waktu itu dan Ketua Menteri Sabah yang dulu dan selaras dengan peralihan pentadbiran kerajaan lepas pilihan raya umum yang lepas,” katanya.

Tambah Muhyiddin, kerajaan sekarang berhasrat meneruskan pelaksanaan PSS kerana itu adalah antara cara mengawal pergerakan setiap pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang telah dikeluarkan oleh kerajaan BN sejak tahun 1970.

Katanya, demi keselamatan rakyat Sabah, adalah lebih baik kerajaan mempunyai maklumat mengenai golongan itu untuk melakukan pemantauan bukannya membiarkan sahaja mereka bergerak secara bebas seperti sebelum ini.