Madius Naik Bukit Lebih Sejam, Tinjau Sendiri Masalah Bekalan Air Graviti Kampung Penimbawan

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau turun padang mendaki bukit bagi meninjau sendiri kawasan tadahan sumber bekalan air graviti di Kampung Penimbawan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, Pusat Khidmat Parlimen Tuaran bersama Politeknik Kota Kinabalu dan penduduk kampung bergotong royong selama tiga hari bagi membaiki dan membina tapak baharu bagi lima tangki tadahan air graviti.

“Kita telah berusaha menyiapkan dan menyimen tapak yang boleh memuatkan sebanyak empat tangki air bagi tujuan pemendapan dan tadahan air.

“Baki satu tangki lagi akan diletak pada puncak bukit namun cabaran yang dihadapi sekarang adalah bagaimana hendak mengangkat kelima-lima tangki berkenaan ke kawasan tapak yang berada di atas bukit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada akaun facebook rasminya.

Madius berkata, pasukan beliau telah berinovasi menggunakan plastik sebagai penapis bagi mengelakkan paip sumber air tersumbat oleh daun-daun pokok atau sebarang benda asing.

“Kita akan menaiktaraf penapis ini pada masa akan datang.

“Buat masa ini kita mahu memastikan para penduduk mempunyai bekalan air untuk kegunaan harian.

“Sebelum ini iaitu pada tahun 2020, kita telah membina kawasan tadahan di bukit ini agar penduduk kampung Penimbawan mempunyai sumber bekalan air selepas sekian lama menderita dan hanya bergantung sumber bekalan dari luar,” katanya.

Dengan pembinaan lima buah tangki, ia dijangka akan mampu menampung keperluan lebih 2,000 penduduk di perkampungan tersebut.