Syabu dan pil Ecstacy dirampas bernilai lebih RM177,000 di Tawau

TAWAU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih lima kilogram dadah disyaki jenis syabu dan 1001 biji pil Ecstasy bernilai RM177,120.60 di jeti CIQ Lama Tawau, di sini kelmarin.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, kejayaan rampasan itu dilakukan menerusi Operasi Dragon VI yang dilaksanakan bermula 19 April hingga 19 September depan.

Katanya, kejadian kira-kira jam 2.36 petang dimana lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dipercayai individu yang membawa semua dadah berkenaan.

“Pasukan operasi yang menjalankan pemeriksaan barang di kawasan berkenaan telah mengesan seorang lelaki membawa sebuah kotak coklat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak coklat itu menemukan lima paket teh cina disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan lima bungkusan plastik kecil mengandungi pil Ecstasy berwarna merah jambu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mohd Nasir berkata, suspek terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau bersama semua dadah berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Modus operandi suspek adalah membawa bahan terlarang disyaki dadah yang dibungkus menggunakan teh cina berjenama Alishan Jia Xuan Tea.

“Suspek juga dipercayai cuba membawa keluar semua dadah berkenaan dari daerah Tawau dengan menggunakan laluan laut ke Pulau Sebatik,” jelas Mohd Nasir.

Menurutnya, suspek terbabit juga telah ditahan reman selama 14 hari bermula dari tarikh tangkapan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita menggesa orang ramai supaya dapat membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. -SABAH NEWS TODAY