Masyarakat berbilang kaum sambut pelbagai perayaan sebagai simbolik perpaduan yang utuh di Sabah:Madius

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau turut menyemarakkan sambutan sambutan Hari Deepavali apabila menghadiri jemputan ke kuil Sri Pasupathinath Alayam, Bukit Padang, Kota Kinabalu hari ini.

Sambutan kali ini menyaksikan kehadiran ramai pengunjung dari pelbagai latar belakang suku budaya, bangsa dan agama di Sabah.

Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata, setiap perayaan di Sabah sentiasa diraikan masyarakat pelbagai kaum dan agama termasuklah sambutan Deepavali sebagai simbolik perpaduan yang utuh di negeri ini.

“Setiap tahun, kita menyaksikan bagaimana sambutan Deepavali bukan hanya menjadi perayaan bagi rakan-rakan kita yang beragama Hindu.

“Melalui perayaan seperti ini, kita dapat mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum dan ini adalah langkah penting dalam membina masyarakat yang bersatu dan harmoni,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Madius juga mengajak semua masyarakat untuk terus merayakan perayaan-perayaan bersama, kerana ini merupakan asas bagi pembentukan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

“Marilah kita jadikan perayaan ini sebagai platform untuk meningkatkan perpaduan, di mana setiap lapisan masyarakat dapat bersatu dalam semangat kebersamaan yang mencerminkan nilai-nilai toleransi dan saling menghormati diantara masyarakat majmuk kita,” katanya.