KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) mempersoalkan pengurangan yang dibuat kerajaan terhadap peruntukan bagi kawalan penyakit di Sabah.
Menurutnya masalah kesihatan di negeri itu bukan sahaja COVID-19 yang berleluasa tetapi juga penyakit berjangkit yang lain.
“Sebelum COVID-19 melanda, pada awal tahun ini Sabah menemui semula jangkitan polio yang lama pupus di tanah air kita. Dan baru-baru ini sehingga 6 December, kes denggi di Sabah tercatat sebanyak 3,895 kes, rekod yang tertinggi.
“Malangnya saya mendapati peruntukan untuk kawalan penyakit berkurangan, terutamanya di bawah perkhidmatan dan bekalan berkurangan RM14.3 juta berbanding dengan tahun ini (2020),” katanya.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2021 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata, penyakit tidak berjangkit juga antara pembunuh utama dan memberi masalah besar di Malaysia.
“Kerajaan perlu serius dan tegas menghapuskan penyakit berjangkit tersebut.
“Untuk tujuan itu Kerajaan perlulah menambah kakitangan untuk menangani masalah-masalah kesihatan awam. Bekalan untuk program Kesihatan Awam hendaklah diperkasakan,” tegasnya.
Terdahulu dalam ucapan pembukaannya Madius turut memetik kata-kata ahli falsafah John Rawls yang mengatakan bahawa “sesebuah masyarakat yang bercirikan ‘adil dan saksama’ adalah bagaimana masyarakat membela golongan yang terpinggir.”
“Begitu juga dengan sifat kerajaan. Sabah adalah negeri yang antara termiskin bukan sahaja kekurangan infrastruktur tetapi pakar-pakar yang boleh menjamin kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ