Madius persoal status tuntutan Sulu, ini penjelasan dari Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau

Tuntutan pewaris ‘Sultan Sulu’ ke atas Sabah sentiasa menjadi isu hangat yang menjadi perhatian dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat khususnya di Wilayah Sabah. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau merupakan antara wakil rakyat Sabah yang sentiasa lantang berjuang untuk memastikan isu ini menemui jalan penyelesaian yang tuntas.

Persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Parlimen Kali Ke-15 sekali lagi menyaksikan tokoh yang berasal dari Kampung Lokos Kiulu ini membangkitkan hal ehwal yang sentiasa menjadi duri daging dalam kalangan masyarakat orang asal Bumi di Bawah Bayu itu.

Dalam soalan lisan pada Isnin, soalannya telah tersenarai pada nombor 27 dengan berbunyi, “DATUK SERI PANGLIMA MADIUS TANGAU [ TUARAN ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah status terkini tentang perbicaraan tuntutan ‘pewaris’ Sultan Sulu terhadap ‘pampasan’ ke atas Sabah.

Jawapan dan penjelasan telah diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Ikuti jawapan di bawah.

Tuan Yang Di-Pertua, Kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa tindakan untuk mencabar dan menamatkan tuntutan warga Filipina yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu. Status terkini tindakan-tindakan yang diambil adalah seperti berikut:

I. PERANCIS:

1. Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol yang membatalkan pelantikan Dr. Stampa sebagai penimbang tara bertarikh 29 Jun 2021, warga Filipina yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu telah mendapatkan Perintah dari Mahkamah Perancis bertarikh 29 September 2021 untuk mengiktirafkan Preliminary Award bertarikh 25 Mei 2020. Dengan Perintah Mahkamah Perancis tersebut Dr. Stampa telah memindahkan prosiding timbang tara yang sepatutnya telah diberhentikan ke Paris, Perancis.

(i) Permohonan Rayuan oleh Kerajaan Malaysia terhadap Perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 September 2022

– Pendengaran telah berlangsung pada 6 Februari 2023 di Mahkamah Rayuan Perancis. Keputusan dijangka akan dikeluarkan pada Jun 2023.

(ii) Permohonan untuk menggantung Perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 September 2021

– Pada 16 Disember 2021, Mahkamah Perancis telah membenarkan penggantungan Perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 September 2021 sehingga keputusan mengenai Permohonan rayuan terhadap Perintah bertarikh 29 September 2021 oleh Kerajaan Malaysia dikeluarkan. Warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu telah merayu keputusan penggantungan ini dan telah diterima oleh Mahkamah Perancis. Perintah Penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 tersebut telah ditarik balik oleh Mahkamah Perancis pada 10 Jun 2022.

– Kerajaan Malaysia sedang merayu keputusan 10 Jun 2022 dan telah memfailkan hujahan di Mahkamah Perancis. Tarikh Pendengaran belum ditentukan.

(iii) Permohonan oleh Kerajaan Malaysia untuk membatalkan Final Award yang telah dikeluarkan oleh Dr. Stampa pada 28 Februari 2022.

– Kerajaan Malaysia telah memfailkan hujahan-hujahan yang diperlukan dan sedang menunggu tarikh pendengaran.

(iv) Permohonan untuk menggantung Final Award yang telah dikeluarkan oleh Dr. Stampa pada 28 Februari 2022

– Mahkamah Perancis telah membenarkan penggantungan Final Award sehingga keputusan mengenai Permohonan oleh Kerajaan Malaysia untuk membatalkan Final Award dikeluarkan. Warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu sedang merayu keputusan ini.

– Pendengaran bagi rayuan ini telah berlangsung pada 16 Januari 2023 dan keputusan dijadualkan 6 minggu selepas pendengaran.

II. LUXEMBOURG

2. Selain daripada tindakan di Sepanyol dan Perancis, pihak warga Filipina juga telah memulakan prosiding penguatkuasaan Final Award di Luxembourg melalui suatu Exequatur Order bertarikh 18 Mei 2022 bagi mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa. Sebagai tindak balas, Kerajaan telah mengambil tindakan perundangan di Mahkamah Luxembourg seperti berikut:

(i) Permohonan Kerajaan untuk mencabar Exequatur Order bertarikh 18 Mei 2022:

– Pada 6 September 2022, Kerajaan telah memfailkan rayuan untuk mencabar Exequatur Order tersebut dan kini sedang menunggu Mahkamah Luxembourg untuk menetapkan tarikh akhir pengemukaan hujahan oleh Penuntut.

(ii) Permohonan Kerajaan untuk mencabar penguatkuasaan Final Award:

– Lanjutan daripada tindakan pihak warga Filipina dalam mendapatkan perintah penahanan terhadap sembilan (9) bank Luxembourg bagi menahan aset Malaysia untuk tujuan penguatkuasaan Final Award tersebut, Kerajaan telah memfailkan permohonan relif interim bagi membatalkan perintah penahanan aset tersebut yang telah difailkan pada 13 dan 14 September 2022. Pendengaran bagi permohonan ini telah diadakan pada 5 Disember 2022.

– Pada 24 Januari 2023, Mahkamah Luxembourg telah memberi keputusan yang berpihak kepada Kerajaan dengan mengetepikan perintah penahanan aset yang telah difailkan oleh pihak warga Filipina tersebut.

– Pada 16 Februari 2023, Mahkamah Luxembourg sekali lagi mengeluarkan perintah penahanan (attachment order) baharu kepada dua anak syarikat Petronas. Pihak Petronas telah menyatakan akan mempertahankan aset mereka dalam validation proceeding yang akan datang, di mana merit tuntutan tersebut akan ditentukan.

III. BELANDA

(i) Permohonan pihak warga Filipina dalam menguatkuasakan Final Award di Belanda

– Pada 6 Januari 2023, Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra telah menerima serahan bagi permohonan pihak warga Filipina dalam menguatkuasakan Final Award di Belanda. Mahkamah Belanda telah menetapkan tarikh pendengaran bagi permohonan pihak warga Filipina tersebut pada 17 April 2023.

– Dalam perkara ini, Jabatan Peguam Negara bersama peguam asing yang telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia sedang dalam proses penyediaan pernyataan pembelaan dalam mencabar permohonan pihak warga Filipina tersebut.