Madius Rasmikan Hari Terbuka IPS dan Karnival Bakat Tadika Swasta Daerah Tuaran

Tuaran: Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, telah merasmikan Program Hari Terbuka Institusi Pendidikan Swasta (IPS) dan Karnival Bakat Tadika Swasta Daerah Tuaran 2024 di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli hari ini.

Majlis ini dianjurkan oleh Persatuan Tadika Swasta Daerah Tuaran (PTST) dan telah melibatkan penyertaan 20 buah sekolah tadika swasta di daerah ini.

Dalam ucapannya, Madius menegaskan komitmennya untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan, yang dianggapnya sebagai asas kemajuan mana-mana komuniti. Beliau melahirkan kebimbangan terhadap cabaran yang dihadapi oleh anak-anak muda dalam usaha melanjutkan pelajaran.

“Kita semakin melihat banyak cabaran yang menghalang anak-anak muda untuk melanjutkan pelajaran, termasuk kekangan ekonomi, akses kepada pendidikan berkualiti, dan ketidakseimbangan peluang antara bandar dan luar bandar.

“Tiada anak muda sepatutnya tercicir daripada mencapai potensi penuh mereka hanya kerana faktor-faktor ini. Setiap daripada mereka berhak mendapatkan pendidikan yang sewajarnya, sama ada melalui pendidikan awam atau swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO turut menekankan kepentingan inisiatif seperti Hari Terbuka IPS dan Karnival Bakat ini sebagai usaha penting yang perlu disokong oleh semua pihak.

“Program ini memberi peluang kepada masyarakat, terutamanya ibu bapa, untuk memahami pilihan pendidikan yang ada dan mengenal pasti bakat anak-anak sejak usia awal.

“Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, seperti PTST, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), dan Majlis Daerah Tuaran, saya akan terus memastikan setiap anak muda mendapat peluang pendidikan terbaik tanpa mengira latar belakang,” tambahnya.